Sabtu, 29 November 2008
"Hoorey, Pool Party!"
Seorang pelajar yang telah dipenuhi mata hatinya dengan cahaya hidayah melaporkan sesuatu kepada saya. Dia menjelaskan bahawa terdapat sekumpulan pelajar Malaysia lelaki dan perempuan telah mengadakan acara pool party bertempat di sebuah hotel di Kota Medan baru-baru ini. Malangnya majlis syaitan tersebut dibuat secara sembunyi-sembunyi tanpa pengetahuan badan agama persatuan.
“Aku dengar mereka kata, sesiapa yang nak join pool party, sila bayar Rp150 000,” ujar pelajar tahun tiga perubatan itu.
“Bukan itu sahaja, salah seorang peserta acara itu beritahu yang mereka turut minum minuman keras.” sambungnya lagi.
Nau’zubillah. Tergamak sekali mereka. Apakah racun hedonisme sudah meresap ke dalam minda pelajar-pelajar melayu kita yang kononnya beragama islam itu? Apakah mereka lupa kepada amanah ilmu dari mak ayah, masyarakat dan agama? Agaknya, penyakit memuja hawa nafsu ini sudah menjadi barah dalam masyarakat yang tiada penawarnya lagi
Kami cuma hendak ‘release tension’
Saudara, jika “release tension” dijadikan alasan bagi menuruti hawa nafsu dan dorongan syaitan, saya ingin bertanya, apakah sandaran saudara yang mengatakan bahawa pool party ini dapat meredakan tekanan perasaan? Jawapannya tidak ada. Apakah ada satu kajian ilmiah yang membuktikannya? Jawapannya tetap tiada. Jadi, ternyata bahawa saudara hanya terpengaruh dengan budaya negatif daripada Barat secara membabi buta. Faktanya adalah, hanya dengan melaksanakan ibadah seperti berzikir, membaca Al-quran, solat dsb terbukti dapat menenteramkan perasaan, menurunkan rembesan hormone stres, dan menguatkan jiwa.“Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram…”
Hukum Allah
Islam sebagai sebuah agama fitrah telah mengharamkan acara pool party ini kerana beberapa sebab. Pertama, jika di dalamnya dihidangkan minuman keras (baca:arak). Hal ini dengan jelas disebutkan dalam surah Al-Ma-idah ayat 90, “Hai orang-orang beriman, sesungguhnya arak, judi, berhala dan bertenung adalah keji, itu dari perbuatan setan, jauhilah akan dia, supaya kamu mendapat kemenangan.”
Kedua, jika berlakunya percampuran antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram tanpa mengikuti garis yang ditetapkan oleh syara’. Hal ini termasuklah bermandi-manda bersama, mendedahkan aurat, berpegangan tangan, berdua-duaan di tempat yang sunyi, menyanyi bersama dsb. Perkara ini dinyatakan oleh Allah Swt dalam surah An Nuur ayat 30-31,
“Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan
pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci
bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat".
Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung kedadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau Saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita islam, atau budak- budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita…”
Pengajaran dari Kisah Firaun
Jelaslah disini bahawa acara yang terkandung di dalamnya arak, pergaulan bebas, pendedahan aurat adalah haram disisi agama bahkan jauh dari budaya kita yang menjadikan Islam sebagai infrastruktur sosialnya. Al-Quran mendedahkan peristiwa benar tentang mereka yang tidak menuruti ajaran Islam. Dalam surah Ghaafir ayat 21-22, Allah menyamakan Firaun dengan mereka yang ingkar kepada ayat-ayat Nya,
“Samalah seperti keadaan Firaun dan kaumnya serta orang-orang yang terdahulu daripada mereka, lalu Kami binasakan mereka disebabkan dosa-dosa mereka, dan Kami tenggelamkan Firaun serta pengikut-pengikutnya, kerana kesemuanya adalah orang-orang yang zalim”.
Buat akhirnya, Islam sebagai agama suci menekankan dengan bersungguh-bersungguh ke arah melahirkan sebuah masyarakat yang beradab, lantaran daripada masyarakat itulah nanti akan terbentuk sebuah negara yang kukuh, mantap dan sejahtera. Oleh itu, kita harus sedar, cepat bertaubat dan menyelamatkan diri dari terus diperdaya oleh hawa nafsu dan syaitan dengan mengembalikan ketundukan kepada Allah Yang Maha Berkuasa. “No more ignorance party!”.
Wallahua’lam
Oleh: Ahmad Aizatnur
Penasihat BADAR
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
2 ulasan:
Faktanya adalah, hanya dengan melaksanakan ibadah seperti berzikir, membaca Al-quran, solat dsb terbukti dapat menenteramkan perasaan, menurunkan rembesan hormone stres, dan menguatkan jiwa.“Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram…”
Setuju banget!
Bila manusia telah memuja akan dunia, maka hubungan manusia dengan Tuhan menjadi renggang. Segala hukum Tuhan di tolak tepi kerana gagal untuk mendidik nafsu, lalu tunduk dan akur pada arahan syaitan, yang menjadikan mereka memandang semuanya baik pada dosa..
Catat Ulasan