Mari mengenal Ilmu Fiqih Islam
Fiqih merupakan cabang ilmu islam yang mengkaji tentang hukum syariat yang berkaitan dengan hubungan manusia dengan Allah dan hubungan antara manusia. Kata “fiqih” sendiri secara bahasa bermaksud fahm(faham).
Awal mulanya fiqih mempunyai pengertian yang luas, yaitu pemahaman yang mendalam terhadap Islam secara utuh. Definisi ini berlaku pada masa generasi sahabat dan tabi’i. Selanjutnya pada masa Muta’akhirin (abad IV-XII H), fiqih mengalami penyempitan makna, menjadi “pengetahuan hukum syara’ yang bersifat amal yang bersumber dari dalil-dalil yang terperinci”.
Dalam erti yang lain, fiqih Islam sangat penting kerana ia merupakan ibarat “buku manual” dalam menjalankan amalan Islam (praktikal) baik dari sisi ibadah, muamalah, syariah, jinayah dan sebagainya sesuai dengan setiap zaman.
Fiqih dibahagi menjadi empat bahagian utama:
1. Bahagian Ibadat
Iaitu hukum-hukum yang berkaitan dengan ibadat manusia kepada Allah . Contohnya hukum bersuci (thaharah), sembahyang, zakat, puasa, haji, qurban, akikah , nazar dll.
2. Bahagian Mu’amalat
Iaitu hukum-hukum yang berkaitan dengan perbuatan manusia dalam kehidupan seharian sesama manusia mengenai harta. Contohnya hukum jual beli, sewa menyewa, upah mengupah, pinjam meminjam, hutang menghutang, gadai menggadai, perkongsian dll.
3. Bahagian Munakahat
Iaitu hukum-hukum yang berkaitan dengan perkahwinan. Contohnya hukum pelaksanaan perkahwinan, penceraian, rujuk, kewajiban suami, kewajiban isteri dll.
4. Bahagian Jinayat
Iaitu hukum-hukum yang berkaitan dengan kejahatan. Contohnya hukum membunuh, melukai, mencuri, berzina, menyamun dll. Selain itu juga dimasukkan hukum-hukum mengenai Negara contohnya hukum kehakiman, hukum perang dll.
Selain dari itu ada lagi hukum-hukum yang mengenai jenazah, pembahagian harta pusaka (Faroidh), hak milik, makanan, minuman, pakaian dan sebagainya dimasukkan ke dalam salah satu daripada empat bahagian di atas menurut persesuaiannya.
Setiap Muslim pasti memerlukan fiqih (ilmu tentang hukum syariat). Fiqih merupakan rujukan asas dalam kehidupan beragama, untuk mengetahui hukum sah dan batal, benar dan salah, dan juga sebagai jaminan diterimanya amal baik untuk mendapat Keridhaan Allah SWT secara singkatnya hukum halal dan haram.
Mempelajari ilmu syariat dan mengajarkannya merupakan kewajiban bagi setiap mukallaf (Muslim yang baligh dan berakal sihat), sebagaimana Firman Allah SWT di surah at-Taubah ayat 122 :
tidak sepatutnya bagi mukminin itu pergi semuanya (ke medan perang). mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menjaga dirinya.
Dalam memperdalam ilmu fiqih terdapat keistimewaan dengan memperoleh kebaikan dan keridhaan Allah SWT yang hakiki. Sebagaiman sabda Rasulullah SAW :
“Barangsiapa yang dikehendaki Allah baginya kebaikan, maka Allah menjadikannya pandai dalam perkara agama”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dalam riwayat yang lain Baginda bersabda :
“Ketika Allah menghendaki kebaikan pada diri seseorang hamba, Allah memberinya pemahaman agama dan mengilhamkan petunjuk padanya”
(Riwayat al-Bazzar,Ath-Thabarani)
Ilmu Fiqih bersumberkan dari Al-Quran, Sunnah , Ijma dan Qias. Sumber yang pertama menjadi rujukan adalah Al-Quran. Jika ada sesuatu hukum yang tidak ditemukan dalam Al-Quran, dapat dicari hukumnya dalam hadits. Dan jika dalam hadits pun hukumnya tidak ditemukan hukumnya, dapat diketahui dari ijma’ (kesepakatan ulama). Begitu pula jika hukumnya tidak didapati dari ijma’, para mujtahid diwajibkan berijtihad dengan cara qias atau mengambil hukumnya yang terbaik, atau menyamakan hukumnya, atau mengambil cara lain yang menghasilkan sebuah hukum.
Pada zaman sekarang ada 4 Madzhab yang menjadi rujukan dalam bidang Fiqh :
1. Madzhab Hanafi (Imam Abu Hanifah,An-Nu’man Bin Tsabit 80-150H).
2. Madzhab Maliki (Imam Malik Bin Anas 93-179H).
3. Madzhab Syafii (Imam Muhammad Bin Idris Asy-Syafi’I 150-204H).
4. Madzhab Hanbali (Imam Ahmad Bin Hanbal Asy-Syaibani 164-241H)
Sumber rujukan
1. Fiqh Imam Syafii (Prof.Dr.Wahbah Az-Zuhaili)
2. Fiqh Islam wa adillatu (Prof.Dr.Wahbah Az-Zuhaili)
3. Ilmu Fiqih (H.M.Arsyad Thalib Lubis)
4. Jundullah (Said Hawwa)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan