Khamis, 2 April 2009

Risalah MINDA - Mac 2009

Terbitan oleh BADAR PKPMI-CM
Keluaran 3 / 09


Kelahiran Rasulullah s.a.w Menyempurnakan Akhlak Terpuji

Persoalan akhlak merupakan perkara penting dalam kehidupan muslim sejati sebagai kemuncak tamadun manusia di dunia ini.

Tanpanya ia menjadikan seseorang itu tidak ternilai di kalangan manusia itu sendiri, sebagai contoh, orang ramai tidak akan memandang tinggi golongan mat rempit, penagih dadah, peragut yang dianggap sebagai golongan “low class” kerana mentaliti mereka yang cukup rendah.

Muslim yang berkualiti adalah mereka yang memiliki akhlak terpuji dalam hidup mereka, akhlak juga yang membezakan antara seorang yang berfikiran waras atau sebaliknya.

Rasulullah s.a.w bersabda : “Orang beriman yang paling sempurna imannya, adalah mereka yang paling baik akhlaknya.”

Baginda telah membayangkan bahawa akhlaklah yang memacu jati diri muslim untuk mendapat tempat tertinggi di sisi Allah, ini kerana baginda telah meletakkan kesempurnaan iman seseorang muslim itu dengan kesempurnaan akhlaknya, seolah-olah apabila akhlak tidak lagi menjadi perkara penting dalam kehidupan mereka, pada masa itu mereka tidak lagi boleh dikatakan sebagai seorang mukmin yang sejati.

Hakikat yang berlaku pada hari ini, manusia bernama muslim telah memisahkan akhlak dalam segenap aktiviti hidup mereka, akhlak tidak lagi menjadi bahan utama dalam kerjaya, cara berpakaian, berfikir, berkomunikasi dan lain-lain, ini tidak lain kerana tidak memahami tuntutan akhlak sepertimana yang dijelaskan oleh para sarjana Islam:
* Akhlak terhadap Allah SWT
* Akhlak terhadap Kitab Allah
* Akhlak terhadap Rasulullah s.a.w.
* Akhlak terhadap Sunnah Rasulullah
* Akhlak terhadap sesama muslim
* Akhlak terhadap sesama manusia
* Akhlak terhadap haiwan
* Akhlak terhadap segenap makhluk di dunia termasuk tumbuh-tumbuhan

Rasulullah s.a.w ada menegaskan dalam satu hadisnya yang bermaksud : “Sesungguhnya aku diutus adalah untuk menyempurnakan akhlak yang terpuji.”

Matlamat Allah mengutus baginda Rasulullah s.a.w adalah untuk menyempurnakan beberapa elemen akhlak seperti yang disebutkan di atas.

Apabila ia dapat dilaksanakan dengan baik, tidak mustahil akan memandu muslim ke arah kesempurnaan iman yang sebenarnya.

Justeru, kejayaan ummah ini bergantung kepada sejauh mana mereka menghiasi diri dengan akhlak yang terpuji bersesuaian dengan perutusan Nabi Muhammad ke dunia ini untuk menyempurnakan keimanan manusia. MINDA

Meskipun zahir bentuk bashari,
Batinnya bangsa terlalu safi,
Kerana peri haknya ruhani
Pernah berkata lisannya murni:
Sebagai nabi aku terkandung
Dalam rahasia di Balai Agung,
Padahal Adam masih terapung
Antara air dan tanah lempung.
Meskipun rupaku anak Adam,
Darjatku asal terlebih kiram.
Tatkala Adam belum teringat,
Tatkala Kalam belum bersurat
Dan Papan tulis belum tercatat,
Sudah terpandang oleh kunhi Zat
Seri wajahku di dalam mirat.
Sinaran sani cahaya kamalat,
Pancaran murni asma dan sifat,
Rumusan seni segala makhlukat
Yang zahir pada cermin hakikat
Dalam diriku semua terlibat.

(Puji-pujian Ke Atas Junjungan Besar Nabi Muhammad salla’ Llahu alayhi wa sallam oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam buku Risalah Untuk Kaum Muslimin)




Tujuan menyambut hari kelahiran Rasulullah s.a.w

Tujuan menyambut hari kelahiran Rasulullah s.a.w yang diadakan setiap tahun ialah untuk mengingati perjuangan baginda menyebar dan meninggikan syiar Islam. Dalam upacara seperti ini, ceramah-ceramah dan forum-forum diadakan untuk memberi pengetahuan kepada mereka yang tidak tahu mengenainya, memperingatkan mereka yang lupa untuk dijadikan teladan dan ikutan. Segala yang berlaku ke atas Nabi s.a.w., para sahabat dan mereka yang terlibat boleh dijadikan contoh dan inspirasi umat Islam.

Selain daripada peristiwa ini, terdapat hari-hari lain yang bersejarah dalam Islam yang perlu diingati seperti hari nuzul Quran, tahun Hijrah, malam israk mikraj dan sebagainya.
Memang benar Rasulullah s.a.w. tidak mengadakan amalan berarak, berzanji ataupun nasyid seperti yang diadakan sekarang ini tetapi daripada pelbagai sumber yang boleh dijadikan sandaran, umat Islam digalakkan menyambut sesuatu peristiwa besar dalam Islam. Hari-hari tersebut mengandungi falsafah dan makna dalam kehidupan seorang Islam. Ia juga merupakan lambang kemegahan dan kebesaran Islam.

Dalam surah al-Hajj: 32 terdapat firman Allah yang bermaksud: Barang siapa memuliakan tanda-tanda kebesaran Allah, maka sesungguhnya ia adalah satu gambaran ketakwaan hati.
Ayat-ayat al-Quran di atas menjelaskan bahawa orang yang memuliakan nabi adalah mereka yang untung di mana mereka akan dibalas dengan kebaikan iaitu syurga.
Amalan ini memperlihatkan ketakwaan hati. ``Tanda-tanda kebesaran Allah'' yang dijelaskan di sini adalah umum yang tidak semestinya terkhusus kepada sambutan memperingati Maulidur Rasul.

Mengenai kasih terhadap baginda s.a.w. ini, Rasulullah s.a.w. sendiri ada bersabda: Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu kecuali andainya saya (nabi) lebih dikasihi olehnya berbanding dengan kasih terhadap bapanya, anaknya juga keseluruhan manusia.


Suara Perempuan Adalah Aurat?
(Sautul Mar'ah Aurah)

Soalan:
Apakah hukum suara perempuan menurut pendapat jumhur ulamak? Dan bagaimanakah kedudukan hadis Nabi SAW yang mengatakan 'Sautul Mar'ah Aurah'?

Jawapan:
Islam melarang kaum wanita bercakap dengan suara lemah lembut dan manja kepada lelaki ajnabi sebab suara wanita itu tergolong aurat. Allah telah memerintahkan melalui firman-Nya supaya jangan berbicara dengan suara yang dimanja-manjakan dan dilembut-lembutkan kepada lelaki lain, kerana ia boleh
menimbulkan keghairahan kepada kaum lelaki yang bermaksud tidak baik kepadanya.

Firman Allah SWT maksudnya: "Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya, dan ucaplah perkataan yang baik". (Al Ahzab 32)

Jelaslah bahawa dalam Al Quran dengan tegas menjelaskan tentang kedudukan suara wanita ini.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...