oleh Ust Hasrizal Abd Jamil
www.saifulislam.com
“Habis, sebenarnya benda ni al-Asmaa’ al-Khamsah atau al-Asmaa’ al-Sittah?” saya menggaru kepala.
“Ulama berbeza pendapat dalam hal ini,” kata Fazdi.
“Dalam Fiqh sudah ada banyak khilaf, dalam Bahasa Arab pun sama juga ya?” saya bertanya.
“Tentulah. Ada Mazhab Kufah, ada Mazhab Basrah” jawab cikgu Bahasa Arab kami itu.
Petang itu kami berbual-bual di halaman masjid selepas Solat Asar. Angin petang bertiup sepoi-sepoi bahasa membawa aroma padang pasir yang mendamaikan. Kami masih di awal perjalanan pengajian di bumi Mu’tah. Siang tadi, kelas Bahasa Arab 101 terisi dengan perbincangan berkenaan dengan sekumpulan 5 Ism yang dihukumkan Marfu’ dengan huruf Wau menggantikan Dhammah.
Tetapi apa yang uniknya ialah, sebahagian ulama’ menamakan rangkaian Ism itu sebagai ISM YANG LIMA (al-Asmaa’ al-Khamsah) manakala sebahagian yang lain pula menamakannya sebagai ISM YANG ENAM (al-Asmaa’ al-Sittah).
“Kata Dr. Yusuf al-Qammaz, selain perkataan Ab, Akh, Ham, Fu dan Dzu, perkataan yang keenam itu digugurkan atas pelbagai sebab. Kalimah keenam iaitu Hanu dicicirkan kerana maksudnya agak mengaibkan. Ia bermaksud kemaluan. Anggota sulit orang perempuan, juga lelaki” saya cuba mengingati kembali apa yang diajar di kelas.
Itulah penerangan yang diberikan oleh pensyarah kami di kelas tadi. Disebabkan oleh makna dan kaedah penggunaannya di dalam Bahasa Arab, hingga timbul khilaf pada melakukan I’rab dengan Harakat atau Huruf, maka Ulama’ Nahu juga berselisih pendapat pada memasuk atau mengecualikannya. Al-Farra’ dan al-Zajjaaji menggugurkannya, manakala Sibaweih pula menyertakannya.
BERSOPAN MALU DI DALAM ILMU
Namun apa yang lekat di kepala saya adalah suasana adab dalam majlis ilmu apabila perkataan sedemikian rupa disebut secara berlapik. Malah dengan justifikasi Ulama Nahu, ada yang sampai menggugurkan perkataan itu kerana penggunaannya yang tidak begitu diperlukan di dalam ayat-ayat Bahasa Arab.
Itulah sifat malu.
Mencegah daripada menyebut perkataan yang merujuk kepada anggota sulit berulang-ulang kali di dalam pengajian, bukan atas faktor-faktor yang negatif jika dinegatifkan, malah juga untuk ‘menghormati’nya. Menghormati dalam erti kata tidak melucahkan atau menjadikannya bahan senda gurauan manusia yang rendah akal.
MENGHORMATI SEKS DENGAN SIFAT MALU
Fahamkah masyarakat dengan persoalan ini jika perbuatan mencarut sudah menjadi kebiasaan?
Apatah lagi, apa yang dicarutkan itu adalah hakikatnya anggota sulit seorang wanita yang amat terhormat.
Di situlah bermulanya asal kejadian seorang manusia.
Di situ jugalah tempat berpindah seorang manusia daripada Alam Rahim ke Alam Dunia.
Kenapa dicarutkan ia?
Di suatu ketika, perbuatan mencarut dengan perkataan-perkataan yang menjadi kotor dan lucah itu adalah permainan bahasa manusia yang rendah akal. Mereka bergurau tentang faraj, tentang zakar, tentang seks dan menjadikannya sebagai gurauan harian hingga SEKS MENJADI MURAH. Malah tanpa disedari, apa yang diguraukan itu adalah hal yang bersangkutan dengan ibunya, isterinya, anak perempuannya, adik perempuannya dan ibu saudaranya.
Tetapi perbuatan melucahkan seks dan menjadikan ia bahan senda gurau, bukan lagi simbol rendah pendidikan atau taraf sosial, malah golongan cerdik pandai, doktor pakar dan tidak ketinggalan para agamawan, turut terbabit sama. Tatkala menyebut perkataan-perkataan kotor dan cela itu menjadi kebiasaan, ia sebenarnya menghakis rasa hormat kita kepada SEKS, malah kepada PERKAHWINAN dan INSTITUSI RUMAHTANGGA itu sendiri. Justeru tidak hairanlah pelbagai kepincangan berlaku akibat daripada pandangan yang begitu rendah oleh kita semua terhadap SEKS yang hakikatnya adalah IBADAH yang dimuliakan agama.
Agama memperkenalkan perkataan-perkataan yang mampu mengekalkan konotasi ilmu yang positif tatkala mengungkapkan tentang kemaluan lelaki dan perempuan di dalam pertuturan. Kalimah FARAJ dan ZAKAR boleh digunakan untuk tujuan-tujuan yang baik. Namun kalimah ini semakin asing di bibir dan telinga masyarakat kerana kata-kata gantinya lebih meniti di bibir sebagai gurau senda libido manusia yang dirasuk nafsu dan Syaitan.
Lebih teruk kita merendah-rendahkan SEKS, lebih liarlah seks itu terjadi. Semakin liar seks, semakin sukarlah kerukunan rumahtangga boleh dipelihara. Seks yang asalnya bertujuan menyalurkan naluri kemanusiaan berubah menjadi lempias kebinatangan.
Daripada Ibn Masoud radhiyallahu ‘anhu beliau berkata: Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda: Sesungguhnya di antara perkara yang diketahui oleh sekalian manusia daripada kalam nukilan Kenabian ialah: Jika kamu sudah tiada rasa malu, maka buat sahajalah apa yang kamu suka! [Hadith riwayat al-Bukhari]
Seks lebih memberikan rasa bahagia, jika ia dihormati.
Seks adalah Ibadah.
Kelumpuhan iman, menjadikannya lucah.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
Tiada ulasan:
Catat Ulasan