Sabtu, 23 Ogos 2014

Kau Dah Puasa Enam Ke Belum???


KELEBIHAN PUASA 6

Kelebihan puasa enam

Sambutan Aidilfitri adalah kemuncak kegembiraan bagi umat Islam setelah menempuh Ramadan dengan penuh ketakwaan kepada Allah SWT.

Mereka telah menghadapi siang Ramadan menahan lapar, dahaga dan rangsangan nafsu syahwat. Pada malamnya mereka akan tunduk sujud kepada Allah SWT melaksanakan `qiam Ramadan' iaitu solat sunat tarawih, tadarus al-Quran dan iktikaf di masjid.

Maka sudah tentu mereka yang beriman dan beramal soleh ini layak untuk menyambut Aidilfitri dengan penuh rasa syukur dan gembira.

Berlalunya Ramadan tidak bermakna kita tidak dituntut melakukan ibadah lain. Pelaksanaan ibadah bukan pada Ramadan tetapi bulan lain juga kerana kehidupan manusia itu keseluruhannya adalah ibadah kepada Allah SWT.

Begitulah juga dengan puasa. Walaupun puasa selama sebulan Ramadan sudah tamat namun kita masih lagi diberi peluang berpuasa iaitu dengan melakukan puasa sunat antaranya puasa sunat enam hari Syawal.

Janji pengampunan

Direkodkan oleh Imam Muslim, daripada Abu Ayyub al-Ansari, Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang berpuasa pada Ramadan diikuti dengan puasa enam hari pada Syawal maka pahalanya adalah sama seperti puasa sepanjang tahun."

Nabi SAW menjelaskan puasa enam hari pada Syawal pahalanya sama seperti puasa setahun secara penuh. Namun syaratnya, setelah kita melengkapkan puasa sebulan Ramadan.

Jika puasa Ramadan, Nabi menjanjikan pengampunan dosa yang lampau maka dengan melengkapkan puasa enam hari dalam bulan Syawal pahalanya sama seperti kita berpuasa setahun.

Berkenaan tatacara berpuasa enam hari Syawal, ada beberapa pandangan ulama. Kebanyakan ulama mazhab al- Syafi'e antaranya Imam Nawawi, berpendapat seseorang yang telah lengkap berpuasa Ramadan perlu menyambung puasanya (enam hari bulan Syawal) secara serta-merta dan berturut-turut setelah merayakan Aidilfitri.

Maksudnya, lebih afdal seseorang itu berpuasa enam hari secara berturutturut bermula pada 2 Syawal. Pandangan ini juga adalah pendapat Syeikh Muhammad bin Salih al-Uthaimin.

Dinukilkan daripada Ma'mar dan `Abd al-Razzak, seseorang itu tidak boleh berpuasa secara serta-merta dan berturut-turut selepas Aidilfitri kerana harihari permulaan dalam bulan Syawal adalah waktu untuk umat Islam makan dan minum setelah sebulan menunaikan ibadah puasa Ramadan.

Menurut pandangan sebahagian ulama lain pula antaranya Waqi' bin al-Jarrah iaitu guru kepada Imam al-Syafi'e dan Imam Ahmad bin Hanbal, puasa sunat enam Syawal yang dilakukan secara berturutturut mahupun berselang-selang adalah sama dari segi kelebihannya.

Oleh itu, seseorang yang telah berpuasa Ramadan mempunyai pilihan untuk terus berpuasa serta-merta selepas Aidilfitri secara berturut-turut atau berselang-selang selagi mana dia berada dalam Syawal.

Setelah diteliti ketiga-tiga pandangan ulama, maka dapatlah disimpulkan bahawa puasa sunat enam Syawal boleh dilakukan serta-merta selepas sambutan Aidilfitri mahupun melakukannya selama enam hari pada mana-mana hari dalam bulan Syawal.

Namun lebih elok jika puasa enam hari itu dipercepatkan jika tiada sebarang halangan. Jika kita tidak mampu berpuasa serta-merta, maka bolehlah kita memilih untuk berpuasa enam hari sepanjang Syawal.

Melihat suasana Aidilfitri kebanyakan masyarakat Malaysia yang akan mengadakan rumah terbuka, budaya kunjung- mengunjung ini mengambil masa berhari-hari malah ada mengadakan rumah terbuka sehingga penghujung Syawal.

Oleh itu, sesiapa yang dijemput hadir ke majlis rumah terbuka maka tidak perlulah berpuasa kerana puasa enam boleh dilakukan pada hari lain. Begitulah juga mereka yang menjemput tetamu datang ke rumah, maka seelok-eloknya mereka menjamu selera bersama-sama tetamu yang hadir.

Namun jika mereka masih mahu berpuasa maka tidaklah salah tetapi perlulah menjelaskan dengan baik kepada tuan rumah mahupun tetamu yang datang.

Utama qada puasa

Berkenaan mana lebih penting, puasa ganti atau puasa sunat, seelok-eloknya kita mempercepatkan qada dengan menggantikan puasa yang ditinggalkan dalam bulan Ramadan.

Ulama membahaskan keutamaan iaitu adakah lebih perlu menggantikan puasa Ramadan sebelum berpuasa sunat. Majoriti ulama menyatakan, seseorang yang meninggalkan puasa Ramadan seelok-eloknya menggantikan puasa itu sebelum meneruskan puasa enam hari bulan Syawal.

Sebahagian ulama pula berpendapat, seseorang yang wajib menggantikan puasa seperti wanita didatangi haid perlulah mendahulukan puasa wajib iaitu mengqadakan puasa ditinggalkan sebelum melaksanakan puasa sunat Syawal.

Pada pandangan mereka, urusan wajib perlulah disegerakan dan tidak boleh didahulukan dengan urusan lain walaupun urusan berbentuk sunat.

Syeikh Muhammad bin Salih al-Uthaimin berkata, sebahagian ulama membenarkan mendahulukan puasa enam hari Syawal ke atas puasa ganti. Namun pengecualian itu hanya untuk puasa enam hari Syawal saja.

Perkara ini juga untuk memudahkan wanita turut sama mendapat kelebihan menunaikan puasa enam Syawal. Jika mereka mendahulukan puasa ganti kemungkinan mereka tidak sempat menunaikan puasa sunat Syawal.

Pelengkap kekurangan Ramadan

Antara keistimewaan puasa enam Syawal adalah:

* Puasanya sama seperti ganjaran berpuasa selama setahun.

Dalam hadis riwayat Imam Muslim telah disebutkan Nabi SAW menjelaskan sesiapa yang berpuasa Ramadan dan menambah enam hari pada bulan Syawal sama seperti berpuasa setahun. Imam Nawawi menyatakan, setiap kebaikan akan digandakan oleh Allah sebanyak sepuluh kali ganda.

Tambah beliau lagi, barang siapa melengkapkan Ramadan maka ganjaran pahalanya sama seperti puasa sepanjang 10 bulan. Puasa enam hari Syawal digandakan sepuluh bersamaan 60 hari dan bersamaan dua bulan. Oleh itu, puasa Ramadan ditambah enam hari bulan Syawal sama pahalanya seperti puasa setahun.

* Melengkapkan kekurangan yang terdapat dalam ibadah puasa pada Ramadan.

Al-Hafiz Ibnu Rajab menyatakan, puasa enam hari Syawal akan melengkapkan kekurangan dan kecacatan yang terdapat ketika mana seseorang itu melaksanakan ibadah puasa Ramadan. Beliau mengkiaskan dengan kelebihan solat sunat rawatib sebelum mahupun selepas solat fardu yang menampung kekurangan terdapat padanya.

* Supaya manusia tidak lupa menunaikan puasa sunat lain.

Dengan mensyariatkan puasa sunat enam hari dalam bulan Syawal, manusia akan terlatih untuk meneruskan puasa sunat yang lain. Kemungkinan seseorang muslim itu terlupa untuk meneruskan ibadah puasa sunat lain setelah menyambut Aidilfitri namun dengan adanya puasa sunat enam hari Syawal sekurang-kurangnya memberikannya peringatan dan motivasi untuk terus berpuasa, tidak semata-mata menunggu kedatangan Ramadan akan datang.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...