Selasa, 17 Ogos 2010

R.A.M.A.D.H.A.N

Bismillahirrahmanirrahim

Salam ukhuwah,
"Wahai orang-orang yang beriman ! Diwajibkan kepada kamu puasa sebagaimana telah diwajibkan atas orang-orang yang sebelum kamu,supaya kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa." (S.al-Baqarah:183)

Alhamdulillah..hari ini genaplah hari ke-7 kita menunaikan ibadat puasa yg merupakan asas daripada rukun islam. Puasa ertinya menahan diri, dan pada syarak maksudnya menahan diri daripada segala yang membatalkan puasa, mulai dari masa terbit fajar hingga tenggelam matahari disertakan dengan niat. Puasa di bulan Ramadhan adalah mengenai iman dan taqwa seperti yang disebutkan pada permulaan dan pengakhiran ayat 183 dari surah al-Baqarah. Iman dan taqwa bukanlah boleh diwarisi, bukan juga dijual beli, tetapi berada di sanubari. Kita lah yang membentuknya, kita lah yang mendidiknya, insyaAllah kita lah jua yang akan memilikinya. Akan tetapi, berimankah atau bertaqwakah kita?

Disebutkan dalam al-Qur'an, bahawa Tuhan menyeru orang yang beriman agar mencapai darjat ketaqwaan. Ini kerana, orang yang beriman, belum tentu dapat mencapai darjat ketaqwaan. Tapi, orang yang bertaqwa, sudah pastilah mereka beriman.

"Wahai orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benarnya, dan janganlah kamu mati melainkan berada dalam Islam."
(Ali Imran: 102)

Juga kepada orang yang beriman itu, Allah s.w.t meminta mereka bertaqwa dengan cara menyatakan perkara yang benar walaupun pahit didengar. Ini kerana, orang yang beriman pun belum tentu dapat menyatakan perkara yang benar.

"Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar, maka Allah memperbaiki bagi amalan-amalanmu, dan mengampuni bagimu dosa-dosamu.."(Al-Ahzab: 70 - 71)

Kita seharusnya bersyukur berada dalam bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini kerana Allah memberi kita peluang untuk memperbaiki diri menjadi hambanya yang lebih beriman dan lebih bertaqwa dengan cara melatih diri dan menahan nafsu dari makan dan minum, mencampuri isteri, dan menahan diri dari perkataan dan perbuatan yang sia-sia seperti; berkata bohong, membuat fitnah dan tipu daya, berburuk sangka dan melakukan maksiat.

Alangkah beruntungnya hati mereka yang beriman dengan kedatangan bulan ramadhan ini, walaupun ada yang tewas dengan nafsunya dan tidak kurang pula yang beranggapan ibadat puasa hanya menahan diri dari makan dan minum sahaja. Bagaimana pula dengan diri kita?

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya bahawa Nabi s.a.w. bersabda:
“Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan berkelakuan buruk sedangkan ia berpuasa, baginya tidak ada kelebihan (pahala) di sisi Allah selain dari lapar dan dahaga sahaja yang didapatinya.”
(al-Bukhari)

Ramadhan mempunyai fadilat yang amat besar sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. dengan sabda baginda
yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim yang bererti
:

"Sesungguhnya akan datang kepada kamu bulan Ramadhan bulan yang diberkati, Allah mewajibkan kamu berpuasa di dalamnya. Pada bulan Ramadhan dibuka pintu-pintu syurga, dikunci semua pintu neraka, dibelenggu semua syaitan. Di malamnya ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Barangsiapa yang tidak memperolehi kebajikan pada malam itu berertilah diharamkan baginya segala kebaikan untuk dirinya."

Rasulullah s.a.w. juga mengucapkan kepada para Sahabat ucapan yang bermaksud:

"Telah datang kepada kamu bulan Ramadhan Penghulu segala bulan , maka selamat datanglah kamu kepadaNya. Maka telah datang bulan puasa membawa segala macam keberkatan. Oleh yang demikian muliakan tetamu yang datang itu dengan seberapa baik."

Sebagai umat islam, kita digalakkan berusaha meninggkatkan amalan terutamanya di dalam bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini. Antaranya :
-menunaikan solat fardhu 5waktu sehari semalam,
-melakukan solat-solat sunat seperti terawikh, tahajjud, hajat dan witir.
-banyakkan mengingati Allah dengan cara membaca dan mentadabbur Al-Quran dan berzikir.
-bersedekah,
-berdoa dan memohon keampunan atas dosa-dosa lalu,
-menyampaikan syariat Islam
-mengeratkan silaturrahim tertutamanya ibu bapa dan keluarga.


Kita juga digalakkan bersahur seperti sabda Nabi yang bermaksud:

“Makanlah sahur, sekalipun dengan seteguk air.”
(Hadis riwayat Ibnu Hibban)

Waktu berbuka dan waktu sahur juga adalah salah satu waktu doa yang mustajab. Oleh yang demikian, maanfaatkanlah waktu bersahur dengan amalan-amalan sunat dan perbanyakkanlah doa memohon keampunan-Nya.

Bahawasanya bulan Ramadhan adalah bulan istimewa bulan yang penuh dengan keberkatan dan rahmat dari Allah s.w.t. Sebagai hambaNya,
hendaklah kita menyambut bulan puasa dengan cita-cita dan azam yang tinggi yang disertai dengan usaha untuk membanyakkan ibadah samada siang atau malam hari dengan niat ikhlas kerana Allah dan kemahuan hendak melatih diri serta mensucikan jiwa serta mengharap keredhaanNya.
Bulan Ramadhan adalah bulan pendidikan dan latihan untuk menjadi hambaNya yang bukan sahaja beriman malahan bertaqwa. Maka janganlah kita sia-siakan bulan yang penuh berkat ini. Anggaplah bulan Ramadhan sebagai landasan kita untuk ke SyurgaNya dan amal ibadat sebagai tiketnya. Semoga Ramadhan kali ini lebih bermakna dan semoga Allah mengampuni dosa-dosa kita yang lalu..aminn...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...