Sabtu, 29 Ogos 2009

Manfaatkan Umurmu !!

"Barangsiapa yang tidak menyibukkan diri

dalam kebaikan niscaya akan disibukkan
dalam keburukan"

"Happy birthday to you..happy birthday to to you..”, begitulah ucapan yang sering kita terima setiap kali menyambut hari ulang tahun. Persoalannya, apakah benar kita bahagia? Apakah benar-benar kita telah berprestasi untuk memanfaatkan setiap detik usia muda kita?

Itulah yang sering kita lalaikan, merasa bertambah usia, padahal kontrak hidup kita semakin hari semakin sempit. Menurut Nabi SAW, rata-rata umur umatnya sekitar 60 tahun. Waktu kita sama sehari 24 jam. Tetapi kenapa prestasi yang dicapai oleh kita berbeza?

Perhatikan, masing-masing waktu kita sama: 60 saat dalam 1 minit, 60 minit dalam 1 jam dan 24 jam sehari, 7 hari seminggu dan seterusnya. Kalau umur kita 60 tahun, dan menjadikan 8 jam sehari untuk tidur, maka sepanjang umur 60 tahun kita telah menghabiskan 20 tahun hanya untuk tidur! Hitunglah sendiri kalau tidak percaya. Ini tidak termasuk makan, bermain, online internet, menegelamun, dan lain-lain. Na’uzubillahhi minzaalik.



Orang-orang cemerlang menyedari bahawa usia harus berkadar lurus dengan prestasi. Sejak awal mereka menapaki usianya untuk meraih prestasi. Diantaranya yang paling menonjpl adalah ditanamkan dan diwujudkan hafalan al-Quran sejak usia muda. Kalau sekarang sering terdengar ‘kempen nikah muda’, zaman salafus salih telah awal-awal mengkempenkan ‘hafal al-Quran dan mencintai ilmu’ di usia muda.


Nikah dini: dambaan kebanyakan remaja Islam


Imam Syafi’i misalnya, beliau telah menghafalkan al-Quran pada usia 9 tahun. Kemudian pada usia 10 tahun beliau telah menghafal isi kita Al Muwatha’ karangan Imam Malik yang berisi 1,720 hadis dengan sempurna. Para ahli hadis kebanyakannya telah mengahafal al-Quran pada usia muda dan mengkaji, menelaah, mentakhrij, menghafal dan menulis hadis di usia belasan tahun.

Usamah bin Zaid menjadi panglima perang usia 18 tahun. Muhammad bin Qasim menjadi panglima perang usia 17 tahun. Tharafah bin Al Abdu Syahid menjadi panglima perang dalam usia 26 tahun. Sementara saat ini banyak remaja dan pemuda pemudi Islam bukan sahaja jauh dari budaya mencintai ilmu dan menghafal al-Quran, malah ‘belum tahu siapa dirinya’!

Temukan jati dirimu!

Aku mesti Berubah !!!


Kembalilah kita bermuhasabah, apa yang telah, sedang dan akan kita lakukan dengan :

1. hidupmu sebelum matimu
2. sihatmu sebelum sakitmu
3. kelapangan sebelum sibukmu
4. mudamu sebelum tuamu
5. kayamu sebelum miskinmu

Inilah yang dianjurkan Nabi SAW. Contohi juga para ulama’ besar kita dalam menggunakan waktu. Mereka menggunakan setiap kesempatan menuntut ilmu sehingga kesempitan, ketertindasan bahkan penjara menjadi madrasah bagi mereka. Bila para ulama’ belajar untuk menghasilkan karya dan menghafalnya, sayang sekali kita sekadar membaca karya mereka pun susahnya bukan main. Apalagi untuk menghafal dan menghasilkan karya besar. Inilah something wrong yang harus kita temukan jawapanya dan kita ubah paradigmanya.


Wallahu 'alam


oleh: Wan Mohd Suhafifi bin Sukri


Ahad, 23 Ogos 2009

SEJARAH HITAM ISLAM - PERANG SIFFIN. (Part 1)


Sahabat-sahabat sekalian, pernahkah anda membaca mana-mana buku tentang sejarah Islam, lalu timbul di hati kita satu spekulasi yang tidak baik terhadap sahabat-sahabat Baginda SAW?

Sebagai contoh, catatan sejarah mengenai Perang Siffin, di mana perang ini tercetus di antara Khalifah Saidina Ali Karamallahu wajhah dan Muawiyah Bin Abi Sufian Radiallahu anhu. Benarkah perang ini tercetus kerana Muawiyah RA hendak merebut kuasa pemerintahan seperti yang diolah oleh sebahagian catatan sejarah? Atau ianya adalah sebahagian dari dakyah musuh Islam supaya umat islam hari ini memandang rendah kepada para Sahabat Ridhuanullah ‘Alahim Ajma‘in?

Setelah memahami serba sedikit mengenai peritiwa Perang Sfifin, ana berasa terpanggil untuk berkongsi dengan sahabat-sahabat sekalian mengenai kisah ini.

Tetapi, sebelum itu, suka bagi ana untuk mengemukakan beberapa Hadith Nabi SAW, kerana bagi hemat ana, hadith ini berkait dengan kisah yang bakal kita sama-sama telusuri nanti.

Dari Abi Musa RA, katanya:
“Aku duduk bersama-sama Nabi SAW di dalam sebuah pondok di sebuah kebun dari kebun-kebun di Madinah. Lalu, datang seorang lelaki meminta kebenaran untuk masuk duduk bersama Nabi SAW dan aku. Lalu Rasulullah SAW bersabda:

“Wahai Abu Musa, bukakanlah pintu dan izinkan dia masuk, dan khabarkan kepadanya satu berita baik, yakni dia AHLI SYURGA”.

Maka aku pun bukakan pintu, dan aku nampak Saidina Abu Bakar as-Siddiq RA. Kemudian aku khabarkan padanya berita baik itu, lalu dia mengucap “Alhamdulillah..”

Selepas beberapa ketika, datang lagi seorang lelaki, meminta kebenaran untuk masuk. Lalu Rasulullah SAW bersabda:

“Wahai Abu Musa, bukakanlah pintu dan izinkan dia masuk, dan khabarkan kepadanya satu berita baik, yakni dia AHLI SYURGA”.

Maka aku pun bukakan pintu, dan aku nampak Saidina Umar al-Khattab RA. Kemudian aku khabarkan padanya berita baik itu, lalu dia mengucap “Alhamdulillah..”

Kemudian datang lagi seorang lelaki, meminta kebenaran untuk masuk duduk bersama kami. Lalu Rasulullah SAW bersabda:

“Wahai Abu Musa, bukakanlah pintu dan izinkan dia masuk, dan khabarkan kepadanya; dia dijanjikan menjadi AHLI SYURGA, DI ATAS UJIAN YANG DIA TERPAKSA TANGGUNG, SEBELUM DIA MATI”.

Lalu aku bukakan pintu, dan aku nampak Saidina Uthman Bin Affan RA. Kemudian aku khabarkan padanya berita dari Nabi SAW itu, lalu dia mengucap “Alhamdulillah..” Kemudian dia berkata, “Allah SWT lah yang akan menjadi penolong aku di saat aku menghadapi ujian sebelum aku mati”.
(Hadith Sahih, Riwayat al-Bukhari)




Dari Anas bin Malik RA, katanya:
“Satu hari aku dengan Nabi SAW dan beberapa sahabat lain, sedang berdiri di atas Bukit Uhud. Bersama dengan kami ialah Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khatab dan Uthman bin Affan. Tiba-tiba Bukit Uhud bergoyang (seakan terjadi gempa), lalu Nabi SAW berkata, “Tenang kamu Uhud!”, dan dengan serta merta Bukit Uhud berhenti bergoyang. Kemudian Nabi SAW bersabda;

“Wahai Uhud! Yang berada di atas kamu sekarang ini bukanlah orang lain tetapi Nabi, Siddiq (Saidina Abu Bakar as-Siddiq) dan Syahidani (dua orang yang bakal mati syahid, iaitu Saidina Umar al-Khattab dan Saidina Uthman Bin Affan).”

(Hadith Sahih, Riwayat al-Bukhari)


(P/S - Di dalam riwayat lain menyatakan bahawa Anas Bin Malik RA tidak berada bersama Nabi SAWdi atas Bukit Uhud, tetapi dia hanya meriwayatkan hadith ini.
- Hadith ini terbukti kebenarannya selepas kewafatan Nabi SAW. Saidina Umar al-Khattab RA mati ditikam oleh Abu Luklu‘ah ketika mengimamkan solat subuh, dan Saidina Uthman Bin Affan RA mati dibunuh oleh pemberontak pada zaman pemerintahannya)



Daripada Saidatina Aisyah RA, katanya:
“ Peristiwa ini berlaku di rumah aku, ketika itu Nabi SAW sedang tenat (hampir wafat). Nabi SAW berkata, “Aku teringin sangat, kalau boleh, beberapa sahabat berada bersama aku ketika ini”.

Lalu Saidatina Aisyah RA bertanya, “ Ya Rasulullah, mahukah kamu kami panggilkan Abu Bakar ke mari?”
Nabi SAW diam tidak berkata-kata.

Seterusnya, Saidatina Aisyah RA bertanya, “ Ya Rasulullah, mahukah kamu kami panggilkan Umar al-Khatab ke mari?”
Nabi SAW juga diam tidak berkata-kata.

Kemudian Saidatina Aisyah RA bertanya lagi, “ Ya Rasulullah, mahukah kamu kami panggilkan Uthman Bin Affan ke mari?”
Lalu Nabi SAW berkata, “Ya, panggil dia ke mari”.

Maka Saidina Uthman pun dipanggil lalu dia datang kepada Nabi SAW dengan segera.

Seterusnya Saidatina Aisyah berkata, “Kami tinggalkan Nabi SAW dan Saidina Uthman bersendirian. Setelah kami berada agak jauh, kami nampak Nabi SAW memberitahu sesuatu kepada Saidina Uthman dan tampak perubahan pada riak wajahnya. Dan tidak ada seorang pun mengetahui apakah yang Nabi SAW sampaikan kepada Saidina Uthman ketika itu”

Setelah lama dari saat itu, barulah kami ketahui apa yang sebenarnya Nabi SAW khabarkan kepada Saidina Uthman. Hal ini diceritakan oleh Abu Sahla (hamba Saidina Uthman yang dimerdekakan).

Kata Abu Sahla:
“Pada hari Saidina Uthman dikepung oleh pemberontak yang hendak membunuhnya, ketika itu Saidina Uthman masuk ke rumahnya dan menjeguk melalui tingkap dan berkata,

“Kenapa kamu hendak membunuh aku? Apa yang telah aku lakukan sehingga aku halal dibunuh? Adakah aku pernah membunuh orang sehingga kamu boleh menuntut untuk membunuh aku?”.

Tetapi pemberontak ini tidak menghiraukan pertanyaan Saidina Uthman, lalu mereka naik ke bumbung rumah bersebelahan, dan melompat masuk ke dalam rumah Saidina Uthman lalu mereka menikamnya. Sebelum Saidina Uthman meninggal dunia, dia berkata, “ Sesungguhnya, sebelum Nabi SAW wafat, Nabi ada memberitahu aku suatu janji, dan sekarang aku menuju kearah janji Nabi SAW itu”, dan kata-kata Saidina Uthman itu didengari oleh aku (Abu Sahla)”.

(Hadith Riwayat Imam Ibnu Majjah)



Inilah kisah yang berlaku kepada Saidina Uthman Bin Affan RA, Khalifah yang ketiga di dalam zaman pemerintahan Khulafa ar-Rasyidin, dan kisah inilah yang memicu kepada terjadinya Perang Sifin.

Sebenarnya, pemberontakan yang terjadi pada zaman Saidina Uthman telah didalangi oleh seorang munafik berbangsa Yahudi yang berpura-pura memeluk Islam. Munafik ini bernama Abdullah bin Tsaba’, berasal dari Sam‘ah, ibu negeri Yaman. Dia menjelajah ke seluruh tempat dengan satu tujuan; menyebarkan fitnah memburukkan Saidina Uthman. Pengaruhnya tersebar luas ke Mesir, Kuffah dan Basrah, sehingga orang yang tidak mengenali Saidina Uthman juga turut membencinya kerana semata-mata percaya kepada dakyah Abdullah Bin Tsaba’.

Banyak tuduhan dan yang mereka lemparkan terhadap Saidina Uthman. Antaranya ialah :
1) Mereka menyatakan bahawa Saidina Uthman mengubah sunnah Nabi SAW. Hal ini timbul apabila pada suatu suatu hari, Saidina Uthman yang tinggal di Madinah datang ke Mekah. Apabila sampai di Mekah, dia tidak menunaikan solat secara Jamak dan Qasar seperti yang menjadi sunnah Nabi SAW apabila Baginda bermusafir, sebaliknya dia menunaikan solat secara Tamam. Lalu mereka menuduh dia tidak mengikuti sunnah Nabi SAW, maka dia tidak layak untuk menjadi Khalifah menggantikan Saidina Umar al-Khattab.

2) Mereka mengatakan Saidina Uthman telah melakukan bid’ah besar, dimana dia telah mengumpulkan al-Qur’an menjadi satu mushaf sehingga dinamakan Mushaf Uthmani. Sedangkan pada zaman Nabi SAW, Baginda tidak pernah menyatukan al-Qur’an menjadi satu mushaf.

3) Mereka juga menuduh Saidina Uthman yang apabila dia menjadi Khalifah, dia melantik pegawai-pegawai yang muda.

4) Mereka mengatakan apabila Saidina Uthman menjadi Khalifah, adik beradiknya menjadi kaya.

Oleh kerana hasutan ini semakin menular ke dalam masyarakat, akhirnya Saidina Uthman RA menyeru masyarakat supaya berkumpul, lalu dia menjawab segala tuduhan yang dilemparkan kepadanya. Berkata Saidina Uthman RA,

“Kamu menuduh aku tidak menghidupkan sunnah Nabi SAW kerana aku menunaikan solat Tamam. Aku bukan tidak mahu menunaikan solat secara Jamak dan Qasar, tapi aku orang Mekah. Walaupun sampai hari ini aku tinggal di Madinah, tapi aku masih ada rumah di Mekah. Isteri aku juga orang Mekah. Jadi, aku menganggap apabila aku datang ke Mekah, bermakna aku pulang ke kampung halaman. Maka aku menunaikan solat secara Tamam. Bukannya aku menafikan orang yang bermusafir tidak boleh solat secara Jamak dan Qasar.”

“Seterusnya kamu tuduh aku melakukan bid’ah yang besar kerana mengumpulkan al-Qur’an menjadi satu mushaf, sedangkan proses mengumpulkan al-Qur’an ini telah bermula sejak zaman Saidina Abu Bakar as-Siddiq lagi, kemudian diteruskan pada zaman Saidina Umar al-Khattab. Aku hanya menyempurnakan sahaja tugasan ini dan ia dibukukan pada zaman aku.”

“Kamu menuduh aku melantik pegawai-pegawai muda apabila aku menjadi Khalifah. Tidakkah kamu sedar bahawa bukan hanya aku, Saidina Abu Bakar atau Saidina Umar sahaja yang melantik pegawai-pegawai muda, bahkan Nabi SAW pun pernah melantik Usamah Bin Zaid (anak kepada anak angkat Nabi SAW; Zaid Bin Harithah) yang masih muda untuk mengepalai satu angkatan perang. Aku tidak berbuat salah dengan melantik orang muda, apatah lagi pegawai muda yang aku lantik, bukan kerana umur yang aku nilai, tetapi kebolehan yang ada pada mereka.”

“Kamu tuduh aku apabila aku menjadi Khalifah, adik beradik aku menjadi kaya. Sekarang aku jelaskan pada kamu. Pada hari pertama aku dilantik menjadi khalifah, akulah orang Arab yang paling kaya, yang mempunyai unta dan kambing yang paling banyak di Madinah. Adik beradik aku menjadi kaya bukan disebabkan harta rakyat yang aku ambil, malah aku tidak mengambil harta rakyat satu pun, sebaliknya harta aku yang aku beri pada mereka.”

“Ternyata tuduhan kamu terhadap aku merupakan satu fitnah semata-mata!”

Semasa Saidina Uthman menjawab semua tuduhan yang dikenakan kepadanya, tiada siapa pun yang bangun menentang untuk membuktikan kebenaran tuduhan mereka. Tetapi, dakyah Abdullah bin Tsaba’ telah meresap jauh ke dalam hati pemberontak sehingga mereka tetap bertekad untuk membunuh Saidina Uthman.

Maka akhirnya, Saidina Uthman Bin Affan Radiallahu anhu, mati dibunuh.


Bersambung....

Ibnu Zukefeli,
Medan, Indonesia.
2 Ramadhan 1430H

Jumaat, 21 Ogos 2009

Kalendar Akademik USU 2009/2010






Ini merupakan kalendar akademik USU bagi sesi 2009/2010.
(yang ana edit skit supaye senang nk tgk).

Semoga bermanfaat bagi sahabat-sahabat yang sedang merancang aktiviti untuk persatuan, atau dah merancang untuk beli tiket balik cuti =).

Di kesempatan ini juga, semperna ketibaan Bulan Ramadhan yang penuh barakah nanti, ana ingin memohon kemaafan dari sahabat-sahabat sekalian jika ana ada melakukan kesalahan, baik yang ana sedari atau yang tidak ana sedari.

Semoga kita dapat menjalani ibadah puasa dengan khusyu', diberkati dan dirahmati Allah SWT, insyaAllah..

SELAMAT BERPUASA..
MARHABAN YA RAMADHAN..

sumber: http://www.usu.ac.id/academic-calendar.html

Ibnu Zukefeli,
Medan, Indonesia.
30 Sha'ban 1430

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...