Sabtu, 21 Februari 2009

Festival Nur Islam Melanda


Program Festival Nur Islam rupanya sedang melanda dan sedang hangat diiklan-iklankan di mana-mana terutamanya di Fakultas Kedokteran (FK) dan Fakultas Kedokteran Gigi (FKG), Uiversitas Sumatera Utara. Tidak tertinggal juga, buat pelajar-pelajar Malaysia yang menuntut di IAIN dan UNIMED. Hanya kerana dalam program ini, panitia-panitia i-FEST menganjurkan pelbagai program baik untuk muslimin mahupun muslimat.

Segala puji bagi Allah, yang tanpa izin-Nya, tidak ada daya dan kemampuan kita untuk menganjurkan program sebesar ini, yang mana melibatkan tenaga dan pengorbanan biarpun jadual harian pembelajaran dihadiri seperti biasa dengan sangat sibuknya. Namun, kekuatan inilah yang dimaksudkan yang datangnya dari Allah. Tidak ada daya dan tenaga kita seperti itu melainkan dari Allah. Marilah kita sama-sama panjatkan syukur yang tidak terhingga kepada Dia, Yang Maha Esa.

Saudara yang dirahmati Allah,

Program-program yang dianjurkan sepanjang i-FEST ini bukanlah sekadar suka-suka ataupun sekadar ingin mencari populariti supaya organisasi BADAR ini mampu dikenali umum. Bukan itulah matlamat utama program ini dianjurkan, melainkan adalah untuk menyuburkan lagi Islam ini supaya terus ada di hati penganut-penganutnya. Apalah gunanya kita menganut agama Islam sekiranya kita tidak mengamalkan serta mempraktikkan Islam itu di dalam kehidupan seharian kita.

Setiap program yang diaturkan itu punya matlamat yang tersendiri, baik program "Bro and Sis Sharing", sama juga halnya seperti program "Badar Amazing Race", tidak kurang juga program "Smart Solat", dan juga Usrah Gabungan III yang baru saja dilaksanakan dengan jayanya pada hari Ahad kelmarin, iaitu pada 22 Februari 2009. Alhamdulillah, program yang dijalankan mendapat sambutan yang memberangsangkan walaupun seperti biasa, yang memenuhi setiap acara itu dimonopoli oleh kaum muslimat.

Bagaimanapun kesan di hati kita yang telah mengikuti kesemua program yang dianjurkan ini, lebih elok sekiranya kita menilai niat sebenar kita, tidak kira kita yang melaksanakan program ini mahupun kita yang menghadiri program ini. Apakah kita menghadirinya semata-mata kerana terpaksa? Ataukah kerana sekadar diajak oleh teman? Ataupun yang mana terlibat dalam menjadi panitia secara tidak langsung, adakah berat tanggungjawab itu? Adakah kita terpaksa memikulnya dengan keadaan yang terbeban dan tidak rela?

Tanamlah kesemua alasan-alasan negatif itu dari minda kita. Kita yang terlibat dalam menjayakan kesemua program ini, secara langsung dan tidak langsung, haruslah melihat kembali pada niat kita. Tiada amanah yang ringan di dunia ini kerana amanah yang didefinisikan oleh Imam Al-Ghazali itu sendiri adalah sesuatu yang paling berat sekali. Itulah dia amanah. Bilamana ianya berat, adakah tidak ada jalan lain untuk melepaskan diri untuk memperjuangkan Islam?

Saudara yang dimuliakan Allah,

Renungilah kata-kata Allah di dalam kitab-Nya di mana Dia berfirman;

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu serta meneguhkan kedudukanmu." (Muhammad:7)

Inilah seharusnya dijadikan sebagai matlamat kita dalam menjayakan pelbagai program Islam. Kalau kita mengerahkan segala keringat kita dalam menjayakan misi kita ini untuk membawa Islam dan berniatkan semata-mata kerana Allah, maka tidak ada apa kerugian yang kita dapat melainkan Allah akan menolong kita juga akan meneguhkan kedudukan kita, yaitu meneguhkan iman kita. Alangkah ruginya kita kalau merasa terbeban dalam menyampaikan Islam itu sedangkan Allah telahpun memberi jaminan untuk memberikan pertolongannya pada kita jika kita benar-benar ingin membantu agama Allah.

Selamilah lagi perintah Allah yang berbunyi;

"Dan hendaklah ada di kalangan kamu segolongan umat menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang mungkar, merekalah orang-orang yang beruntung." (Ali-'Imran:104)

Fikirkanlah saudara, kalau kita sentiasa mengundurkan diri dari mempartisipati apa-apa program yang ingin membawa Islam, pada siapa lagi yang kita harapkan? Adakah hanya mengharapkan segelintir yang ingin mempertahankan Islam? Jangan katakan yang anda tidak layak dan tidak mampu untuk terlibat sama, bukankah kita semua adalah manusia yang sama? Kita semua sama sahaja. Kalau semuanya berfikiran seperti itu, bagaimanakah nasib Islam nanti? Tidakkah kalian kasihan melihat nasib Islam sekarang ini?

Maka dengan itu, jawatan apa sekalipun yang kita pegang dalam menjayakan program sepanjang i-FEST ini, laksanakanlah semampunya. Sahutlah cabaran itu! Bukan kerana jawatan yang dipegang, bukan kerana dipaksa dan didesak, bukan kerana BADAR, tapi niatkanlah kerana Allah Subhana Wa Ta'ala.

Insya Allah, Dia akan membantumu serta mengukuhkan kedudukanmu! Semoga Allah memberkati dan meredhai usaha kita dalam menjayakan program Festival Nur Islam ini. Semoga Allah meredhai kita semua.

Sirru 'Ala Barakatillah.

Khamis, 5 Februari 2009

Usrah Gabungan II

Bersyukur ke hadrat ilahi, dengan bantuan dan rahmatnya kali ini sekali lagi BADAR telah berjaya menganjurkan program Usrah Gabungan ke-2 dengan jayanya pada tanggal 30 Januari 2009 (04 Safar 1430 H) yang lalu di Surau Fakultas Kedokteran Gigi, Universitas Sumatera Utara dari pukul 4.30 petang hingga selepas solat Maghrib.

Program ini telah dianjurkan oleh Biro IGG yang terletak dibawah BADAR PKPMI-CM. Tujuan diadakan program ini adalah untuk merapatkan ukhwah dan mengasah kemahiran dalam menyelesaikan masalah semasa dikalangan ahli-ahli usrah agar dapat menjadi seorang yang kreatif dalam menyelesaikan masalah seharian dan masalah semasa. Kali ini BADAR PKPMI-CM mengupas isu menarik berkaitan hubungan antara lelaki dan wanita dibawah tajuk ADAM DAN HAWA.

Terdapat pelbagai input dan aktiviti-aktiviti yang menarik telah disajikan kepada para peserta melalui program ini antaranya Latihan Dalam Kumpulan, sesi soal jawab, perbahasan masalah dan penanganan masalah, dan sebagainya.

Sepanjang program ini berlangsung, didapati program ini telah mendapat sambutan dan penyertaan yang "hangat" dikalangan peserta program terutamanya pada sesi perbahasan tajuk ADAM DAN HAWA yang menarik ini.

Kami (BADAR PKPMI-CM) mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada semua peserta kerana telah menjayakan program ini dengan penuh kesungguhan dan ketekunan. Kami berharap, agar pengetahuan yang telah anda perolehi melalui program ini dimanfaatkan sepenuhnya agar kita sentiasa berada diatas landasan yang benar dan diredhai Allah.

Salam ukhwah dari kami, BADAR PKPMI-CM.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...